Tuesday 29 June 2010

Renungan Bersama: Ekstrim itu di sana...



Ekstrim itu di sana...

Oleh: Bro Jo, Warwickshire


Dalam meniti hari-hari di bumi permaisuri ini, sudah pasti diantara topik-topik bualan harian adalah terkait dengan faktor cuaca. Maklumlah, tanah bermusim empat ini pasti sentiasa berubah waktu dan ketika, cerah dan gelapnya, berdaun dan kadang-kala gugur, bersalji dan kadang-kala kering. Indahnya cuaca ciptaan Allah swt yang dinamakan winter, spring, summer dan autumn. Dan seperti biasa, antara isi bualan manusia adalah terkait dengan suhu, sejuk atau panas. Ketika winter membuka tirai, biasanya keluhan tidak selesa dengan kedinginan melampau (ekstrim) manakala di kala summer menjelma, terpacul pula keluhan 'hari ni panas sangat la'...dan dialog-dialog ini sudah pasti berputar mengikut pusingan musim yang pasti berubah dengan izin Allah swt. Manusia, tetap dengan sifatnya yang lemah, penuh dengan keluh dan kesah... Hidup bagi mereka sentiasa penuh dengan ketidak sempurnaan dan tanpa disedari (mungkin tidak sengaja) keluhan tersebut seolah-olah menyatakan 'ada yang tidak kena dengan ketetapan ciptaan Allah swt ini'. Nauzubillah min zalik.




Keinginan yang pelbagai...


Itulah manusia. Uniknya terletak pada keingginan yang pelbagai. Diciptakan Allah swt dengan balutan nafsu, dicampak pula di tengah-tengah pelbagai bentuk kenikmatan. Suka atau tidak, manusia bukan hanya diuji dengan sesuatu yang dibenci sahaja, tetapi juga diuji dengan kenikmatan. Adakah nikmat yang ada ini, mendekatkan kita kepadaNya?

Jika diperhalusi dan diteliti (muhasabah), ramai yang jatuh terkulai disebabkan sentiasa inginkan sesuatu yang melebihi batasan yang telah ditentukan Allah swt. Sentiasa berhajat pada sesuatu yang melampau (ekstrim). Jika berhibur, melampaunya sampai rosakkan aqal yang sihat, rosakkan maruah yang berharga. Jika kaya, harta dibazirkan tanpa dihitung lagi, perilaku syaitan menjadi ikutan. Jika makan, seolah-olah tidak pernah bertemu makanan seumur hidup, dilahap sungguh-sungguh dan berakhir dengan kenyang, penat, letih, lemah dan membazir. Senaraikan, pasti bertemu dengan sifat melampau tersebut (ekstrim).

Benarlah kata-kata As-Syahid Syed Qutb yang dirahmati Allah swt, 'manusia yang duduk dalam nikmat terlalu lama, hingga terlupa dia berada dalam kenikmatan', dan tetap ingin kenikmatan yang melampau (ekstrim).

Ketika bersuhu dingin, kita berhajat kepada kepanasan manakala jika dalam musim panas terdetik juga inginkan kesejukan. Jika miskin, selalu beranggan-anggan nak jadi kaya dan bila dah kaya beranggan-anggan pula nak jadi kaya-raya. Inilah roda keinginan yang tidak pernah berhenti kecuali apabila nyawa telah berada di tahap ingin meninggalkan kita di kerongkongan nanti.

Dunia bersifat sederhana...


'Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Al-Furqan: 67

Al-Quran banyak berbicara terkait kehidupan dunia yang bersifat sementara dan sederhana ini. Ummatan wasothan sudah pasti menjadi pilihan kita. Ummat pertengahan.

'Dan demikianlah Kami telah menjadikan kalian sebagai umat pertengahan (ummatan wasathan)...' (al-Baqarah: 143)

“Alangkah ajaibnya orang mukmin, dan hal ini hanya berlaku kepada orang mukmin. Sekiranya ia mendapat kebaikan, ia bersyukur, maka itu perkara yang baik. Sekiranya ia ditimpa musibah, ia bersabar, maka itu perkara yang baik.” Hadith Riwayat Muslim.

Mukmin yang benar itu adalah mukmin yang sederhana. Tidak gelojoh dengan nikmat dunia dan tidak pula bersedih hati dengan ujian yang menimpa.

Disatu sisi yang lain, manusia yang tersesat adalah mereka yang gelojoh dan tidak sabar kepada nikmat dunia dan melampau dalam menikmatinya. Jika meninggalkan ajaran dan suruhan Islam untuk mengejar kenikmatan melampau (ekstrim) di dunia ini, sudah pasti kita menjadi manusia yang akan rugi di akhirat nanti.. Ini kerana ektrim itu di sana nanti.

Ekstrim itu di sana..


Bagi mukmin, ekstrim itu disana.., yakni Darul Akhirah (negeri akhirat).
Di Darul Akhirah nanti, bagi orang-orang yang beriman akan kekal berada dalam kenikmatan syurga yang melampau (ektrim).. katakan apa sahaja nikmat yang diinginkan? pasti ada, pasti dapat dan tanpa batasan.. (ekstrim). Makan disyurga Allah boleh tanpa henti, minum boleh tanpa henti, buah-buah boleh dipetik dengan jari, bidadari mengelilingi diri, katakan apa sahaja sudah pasti akan kita dapati... Tiada lagi keluh kesah panas atau sejuk, tiada lagi kedengaran gendang kelaparan, tiada lagi merasa keletihan, tidak perlu lagi kita bersabar, lakukan apa sahaja yang diinginkan wahai penghuni syurga Allah swt... Ekstrim kenikmatan itu di syurga Allah swt nanti..

Di sana juga, terdapat ekstrim yang kedua,.. yang pasti mendukacitakan kita..Darul Akhirah juga menyajikan azab yang melampau (ekstrim) kepada mereka-mereka yang ingkar dan mereka-mereka yang telah memilih untuk melampau (ekstrim) semasa di dunia ini. Di sana nanti sedang menunggu neraka Allah swt yang penuh dengan nilai ekstrim yang tiada hentinya. Dituang minuman panas yang menggelegak, dibakar dengan kepanasan yang melampau, dipenuhi darah dan nanah, katakan apa bentuk ketidaksukaan manusia hari ini, pasti disana nilainya jauh lebih tinggi (ekstrim). Azab tiada henti (ekstrim). Tiada sedikit pun kelalaian, kerengangan masa dan kekurangan. Di azab pada kepanasan, kesakitan, kekeluhan yang tiada henti dan berterusan..

Oleh itu, marilah kita berfikir dan merenung sekejap, untuk kita menahan diri dari merangkul dunia ini tanpa batasan (ekstrim). Tenangkan diri walaupun kita merasakan ianya sukar, bersederhana dalam tingkahlaku, pakaian, kenderaan, makan-minum dan gunakan lebihan-lebihan yang ada untuk kita jadikan pelaburan (infaq) bagi mendapat nikmat melampau (ektrim) di syurga Allah swt nanti.. Biarkan orang-orang kafir tertipu dengan nikmat dunia yang sementara ini.. kelak nanti mereka juga akan mendapat nilai ektrim (melampau) tetapi dalam bentuk azab Allah swt.. tak perlu dengki kepada mereka.

Ekstrim itu disana rupanya.. di Darul Akhirah nanti..



Wednesday 23 June 2010

Pengumuman : Akan datang... SURE

Survival Siswi Solehah (SURE)

16 Julai - 18 Julai 2010

Sunday 20 June 2010

Rakaman PO : Tarbiyah Dzatiyah

Bismillahirahmanirrahim.

Alhamdulillah, dengan bantuan dan rahmat daripada Allah SWT, PO dapat berlangsung sekali lagi semalam.

Dengan tajuk yang mungkin tidak terlalu asing bagi sebahagian daripada kita yang mula berkenal-kenal dengan jalan dakwah dan tarbiyah, TARBIYAH DZATIYAH merupakan salah satu komponen tarbiyah yang penting bagi setiap mukmin.

InshaAllah bagi pendengar-pendengar yang terlepas sesi PO kali ini,atau yang berhajat untuk mendengar kembali, boleh memuat turun audio rakaman disini.

Teringat kata-kata Mustaffa Masyhur,

Tarbiyah bukanlah segalanya-galanya, tetapi segala-galanya hanya boleh dicapai dengan tarbiyah.
Wallahualam.

Thursday 17 June 2010

Perkongsian Online: Tarbiyah Dzatiyah


Perkongsian Online kembali lagi!

Apabila keseorangan, apakah masih kekal semangatmu?

Apabila kesunyian, apakah masih berjalan amalanmu?

Apabila tiada teman-teman untuk membina suasana soleh di sisimu, apakah luntur tekadmu untuk kekal di dalam suasana itu?

Dan yang paling ditakuti....apabila tiada pembina-pembina jiwa di sisimu, apakah akan kembali jahiliahmu?

Perkongsian Online kali ini bersama tetamu istimewa akan mengupas tajuk yang tidak kurang pentingnya, sempena cuti-cuti musim panas kali ini...


Tajuk : TARBIYAH DZATIYAH
Tarikh : 19 Jun 2010 (Sabtu)
Masa : 10.00 pagi-12.00 tengahari (waktu UK)

5.00 petang - 7.00 malam (waktu Malaysia)

Penyampai: Abu Umar

(Jemputan akan dimulakan pada pukul 9.45 pagi)

Medium : Paltalk (Sila add ID perkongsian_online)

Anda semua dijemput hadir, tidak kira di mana anda berada kerana liputan kami boleh di 'access' dari seluruh dunia!

Bagi yang mempunyai masalah untuk mengakses paltalk boleh menggunakan 'paltalk express' di link berikut :
http://www.paltalk.com/express/

Atau jika masih mempunyai masalah boleh add ID= YM : perkongsian_online
*Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada perkongsian_online@yahoo.com

::Moga Allah permudahkan pertemuan kita.Jumpa di sana!::

Monday 14 June 2010

Rakaman PO : Gaza, bersatu dan berganding tangan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, kini para pendengar boleh memuat turun rakaman PO : Gaza, bersatu dan berganding tangan
di sini.

Kami, pihak Light Of Faith memohon maaf diatas segala kesulitan dan kelewatan yang berlaku.

Moga bermanfaat!

Terus mendoakan kami.

Wednesday 2 June 2010

Puasa Sunat Dan Solat Hajat buat Gaza


"Tidak beriman seseorang selagi dia tidak mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri" -al-hadis-

Warga Light of Faith dengan kerjasama Iluvwarwick ingin mengajak dan menyeru seluruh umat Islam di dunia untuk sama-sama berpuasa sunat dan menunaikan solat hajat buat saudara-saudara kita di Gaza dan juga saudara kita yang terlibat dengan Freedom Flotilla seperti maklumat berikut :

Tarikh : 3 Jun 2010 ( Khamis)
*Masa : 2.30pagi-9.30 malam (waktu UK)
10.00 malam (Solat Maghrib dan solat Hajat**)
*Masa dan tempat tertakluk kepada lokaliti masing-masing.
**Solat hajat boleh dilaksanakan secara individu atau berjamaah

Ayuh Infaq! £10 dari Warwick ke Gaza




"...Tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong - menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.." (Al-Maidah :2)


InsyaAllah Iluvwarwick dengan kerjasama Light Of Faith akan mengadakan kutipan tabung buat Gaza, "£10 dari Warwick untuk Gaza".Kutipan akan berlangsung daripada 2 Jun 2010 hingga 14 Jun 2010.

InsyaAllah bagi yang berhajat, sumbangan boleh dibuat kepada maklumat seperti di dalam poster.

Tabung ini yang pada permulaannya dimulakan daripada pelajar-pelajar di Warwick tidak terhad kepada lokaliti-lokaliti tertentu sahaja. InsyaAllah sesiapa sahaja yang berhajat di bumi UK ini dialu-alukan untuk membuat sumbangan.

Kerana hakikatnya kita tidak terikat dengan tanah, tetapi terikat dengan ikatan akidah yang satu. Mudah-mudahan sumbangan ini mampu membantu dalam usaha membebaskan saudara kita di Gaza!

Moga Allah redha.

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes